YB Anfaal Saari (Exco Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Selangor) visits Persatuan Mobiliti

News & Events Jun 22, 2025

Date: June 4, 2025 (Facebook post)
Semalam saya menziarahi Persatuan Mobiliti Selangor dan Kuala Lumpur — sebuah organisasi kecil yang menjalankan tugas besar.

Sejak tahun 2003, persatuan ini menyediakan pengangkutan khas untuk warga emas dan OKU berkerusi roda, khususnya ke hospital dan pusat rawatan. Perkhidmatan mereka amat penting, terutama bagi mereka yang tiada akses kepada kenderaan yang mesra OKU.

Hari ini, lebih 1,300 warga Selangor dan Kuala Lumpur bergantung kepada mereka. Setiap bulan, mereka menerima sekitar 300 permintaan — namun, hanya mampu memenuhi separuh sahaja kerana mereka hanya ada lima buah van.

Ada pengguna yang menjalani dialisis tiga kali seminggu, tetapi hanya mampu menaiki van ini sekali seminggu sahaja. Itu pun selepas penyusunan jadual yang sangat padat — semalam saya lihat sendiri, seorang pemandu perlu bergerak dari PJ ke Ampang, kemudian ke Klang, semua dalam satu hari.

Mereka hanya mengenakan caj RM15 untuk pengguna dan RM6 untuk penjaga — walaupun ini hanyalah 15% daripada kos sebenar perjalanan. Selebihnya ditampung oleh sumbangan dan tajaan.

Saya amat tersentuh melihat dedikasi mereka. Ini bukan sekadar khidmat pengangkutan — ini adalah tentang maruah, akses, dan keadilan.

Insya-Allah, Kerajaan Negeri Selangor akan meneliti dan mencari ruang untuk membantu mereka, selari dengan hasrat kita untuk membina sebuah Negeri Penyayang yang benar-benar mengambil berat terhadap semua lapisan masyarakat.